I.K.R.A.M. adalah akronim kepada Ikatan Kasih Rumpun Anak-anak Melayu. Ini adalah sebuah kelab motivasi di UiTM Pulau Pinang hasil cetusan idea saudara Tengku Azaha dan Nizamuddin, pelajar semester 3 UiTMPP pada penghujung tahun 2002.
Kelab ini tertubuh atas dasar ingin membantu pelajar-pelajar dalam pembelajaran serta inisiatif untuk melaksanakan kelas tuisyen bagi pelajar UiTMPP. Kelas tuisyen tersebut diadakan secara percuma oleh para pelajar yang beroleh Anugerah Dekan dan boleh disertai oleh sesiapa sahaja pelajar UiTMPP.
Dengan terlaksananya kelas-kelas tuisyen tersebut, IKRAM mengorak langkah dengan memberi motivasi ke sekolah-sekolah di sekitar Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Perlis. Semenjak ditubuhkan, kelab IKRAM kini sudah melangkah ke 16 buah sekolah. Program motivasi yang dijalankan di sekolah-sekolah, dinamakan Program Semarak Kasih atau lebih dikenali sebagai PSK.
Selain PSK, kelab IKRAM tidak sama sekali mengehadkan pergerakan ahlinya hanya sekadar menjalankan program berunsur pendidikan dan ilmiah. Namun, kelab IKRAM juga memberi peluang kepada para ahlinya untuk beriadah sambil menenangkan fikiran dengan mengikuti Program Kembara Mahasiswa atau dengan nama pendeknya KEMBARA. Kembara telah 12 kali dilaksanakan semenjak penubuhan kelab IKRAM.
PSK dan KEMBARA merupakan program utama kelab IKRAM saban semester. Namun, terdapat juga beberapa program yang sudah menjadi tradisi kelab IKRAM. Antaranya ialah Tautan Kasih, IKRAM@Jenjalan, Hari Eratan dan Program Semarak Ilmu (PSI).
IKRAMies
Jika penduduk negara kita, Malaysia adalah 'Malaysians', ahli kelab IKRAM pula dikenali sebagai IKRAMies. IKRAMies terdiri daripada insan-insan berkaliber dari serata pelosok negara kita, nun dari Perlis hingga ke Johor serta tidak disisihkan yang terpaksa merentas Laut China Selatan, iaitu anak jati Sabah dan Sarawak.
Dalam kelab IKRAM, ahli-ahlinya tidak pernah mengenal erti INDIVIDUALISTIK. Kelab IKRAM merupakan sebuah keluarga yang mana ahli-ahlinya datang daripada pelbagai lapisan masyarakat. IKRAMies sentiasa bersatu hati, bekerjasama dan yang paling penting sentiasa berada di sisi ketika diperlukan. Juga dalam kelab IKRAM, tiada istilah SAYA! IKRAMies sentiasa bergerak secara berkumpulan dan KAMI adalah lebih sesuai bagi menceritakan kisah IKRAMies.
IKRAMies hidup seperti adik-beradik yang seibu sebapa. Namun begitu, batas-batas pergaulan dan syariat agama Islam tetap di junjung. Cubit peha kiri, terasa peha kanan. Itulah IKRAMies. Hormat-menghormati menjadi amalan IKRAMies. Yang tua dihormati, yang muda disayangi. Saling menasihati serta menegur ke arah kebaikan menjadi asas persahabatan yang telah terbina.
Atas dasar tersebut jugalah, ahli-ahli lama yang telah jauh dari UiTMPP masih setia dengan kelab yang pernah suatu ketika mengajar mereka erti kehidupan, persahabatan dan kekeluargaan. Dengan sebab itu jugalah, SAYA masih bersama IKRAMies gigih membawa perjuangan kelab IKRAM.
Kelab IKRAM telah membawa 1001 makna dalam hidup saya. Sejak bertapaknya IKRAM 7 tahun yang lepas, saya makin kuat, tabah dan yakin berhadapan dengan pelbagai permasalahan, cabaran dan dugaan yang mendatang. Saya menjadi lebih professional dalam segala hal.
Perkenalan dengan rakan sekampus yang usianya lebih muda berbanding saya, telah melahirkan sifat KAKAK dalam diri saya. Saya semakin matang meniti hari dan adik-adik inilah tempat saya tumpang suka dan duka. Di sinilah tempatnya saya menyemai kasih, menabur sayang. Merekalah adik-beradik saya dunia akhirat.
Selagi Allah kurniakan kesihatan badan, kewarasan fikiran dan ketajaman akal, selagi itulah jasa dan bakti mereka akan saya kenang. Tiada apa-apa pun yang dapat memisahkan kami dan memutuskan tali persefahaman ini melainkan ajal kehendak Allah. Tatakala itu, redha diri ini terima segala hukumanNya dan tulus hati ini berharap agar keluarga ini akan bertemu di syurga kelak. Insya'Allah.
PSK 14
KEMBARA 12
Coretan Buat IKRAMies
Kasih tercipta di dalam kehidupan
Memberi rindu yang tiada berkesudahan
Ukhuwah terjalin di landasan kebenaran
Keutuhan Islam menjadi sandaran
Meniti setiap inci dalam persahabatan
Sayang disemai salam dihulurkan
Bersama memberi motivasi yang diperlukan
Sebagai pengikat tali kekeluargaan
Dekat bermesra, jauh kerinduan
Itulah lumrah alam kehidupan
Nun di sana sentiasa dalam ingatan
Yang di sini tak lepas dari pandangan
Kebaikan dikenang, kesalahan dimaafkan
Rencah kehidupan bersama diwarnakan
Agar tiada berakhirnya satu ikatan
Demi pejuang dahulu, kami korbankan
Sehingga mentari terbenam di lautan
Perjuangan suci harus diteruskan
Semoga ikatan kita kekal berpanjangan
Sungguhpun nanti tiada lagi pertemuan
Andai itu bicara Tuhan
Harus kita terima dengan keterbukaan
Tiada muslihat melainkan dugaan
Di akhir zaman akan dipertemukan
No comments:
Post a Comment
WHAT DO U HAVE TO SAY?? ^_^